Program Ceramah Maulidur Rasul adalah satu
aktiviti tahunan Panitia Pendidikan Islam. Ia bertujuan untuk mendidik murid
memperingati hari kelahiran besar junjungan besar Nabi Muhammad SAW di samping
menghayati peristiwa-peristiwa yang berlaku sebelum dan selepas kelahiran
Rasulullah SAW.
Pada tahun ini, program Ceramah Maulidur Rasul diadakan di ruang legar Sek.
Men. Keb USJ 8. Pihak penganjur telah
menjemput Al-Fadhil Ustaz Mohammad Hafiz bin Abdul Khodir, Imam Masjid An-Nur,USJ
4 untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk ‘Persefahaman Asas Perpaduan Ummah’.
Majlis dipengerusikan oleh Encik Sull Hazry bin Mohd Ali yang bermula pada
pukul 7.40 pagi sehingga 10.30 pagi.
Majlis
bermula dengan perarakan pentadbir, guru-guru dan murid-murid Islam di laluan
yang telah ditetapkan. Mengikut perancangan asal, perarakan tersebut bermula di
tapak perhimpunan menuju ke padang sekolah melalui bengkel pertanian. Daripada
padang sekolah, akan bergerak menuju
ke laluan pejabat untuk berkumpul di ruang legar.
Memandangkan keadaan padang yang agak becak disebabkan hujan, perarakan hanya
melalui kantin sekolah sahaja.
Kemudian majlis diteruskan dengan bacaan
selawat ke atas junjungan Rasulullah SAW dan tazkirah pendek yang disampaikan
oleh pengerusi majlis. Penceramah sampai lewat 30 minit kerana kesesakan lalu
lintas akibat berlakunya kemalangan jalan raya semasa perjalanan ke SMK USJ 8.
Sebelum penceramah menyampaikan ceramah, ahli kumpulan nasyid ‘Syababul
Muslimin’ yang terdiri daripada murid-murid lelaki tingkatan 3, 4 dan 5 telah menyanyikan
2 buah nasyid yang bertajuk ‘Ya Nabi Salumun ‘alaika’ dan ‘Ya Rasulullah’ .
Kemudian majlis diteruskan dengan ceramah yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Mohammad
Hafiz bin Abdul Khodir . Ceramah yang berlangsung selama sejam setengah itu berjaya
menarik minat guru dan murid untuk mengikutinya sehingga selesai.
Majlis
diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang Kuiz Maulidur
Rasul yang telah dilakukan pada waktu
P&P Pendidikan Islam mengikut kelas masing-masing. Sebelum majlis berakhir,
Pengetua SMK USJ 8, menyampaikan
saguhati kepada penceramah. Selepas itu, pengerusi majlis menjemput penceramah
dan para guru untuk menjamu selera di Cafe De U Eight, SMK USJ 8. Majlis
bersurai pada pukul 10.30 pagi.
Lihat gambar-gambar lain, DI SINI